Searching...
Saturday, January 5, 2013
8:00 PM 0

Mekanik cedera parah diserang empat lelaki


Mangsa terlantar di HUSM akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

BESUT - Seorang mekanik cedera parah di beberapa anggota badan setelah ditetak dengan pedang oleh sekumpulan lelaki dipercayai kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, mangsa berumur 29 tahun berada di rumahnya di tepi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Darau, Hulu Besut ketika kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, seramai empat lelaki datang dengan menaiki dua kereta Perodua Kancil ke rumah mangsa.

Menurutnya, kesemua suspek turun daripada kenderaan dengan bersenjatakan pedang dan golok, terus menyerang mangsa yang berada di depan rumahnya.

“Selepas bertindak menetak mangsa, suspek terus melarikan diri dengan kereta tersebut dan ibu mangsa yang berada di dalam rumah sempat mengecam salah sebuah kenderaan yang digunakan suspek,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa tidak dapat mempertahankan dirinya apabila diserang bertubi-tubi oleh suspek.

Menurutnya, ibu mangsa telah membawa anaknya ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Menurutnya, akibat tetakan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di lengan, rusuk dan ibu jari kanan serta luka belakang badan.

Susulan kejadian itu, polis telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 36 tahun, yang beralamat di Kampung Padang Bual, Hulu Besut ketika dia sedang bersembunyi di satu lokasi dekat Pasir Akar, jam 10 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai berpunca kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang bersama suspek,” katanya.

Saringan air kencing mendapati suspek yang ditahan juga positif dadah jenis methamphetamine.

Semua suspek yang masih bebas sedang diburu polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment