Searching...
Wednesday, January 23, 2013
6:05 AM 0

Warkah kepada Najib dari seorang ahli UMNO yang biasa



Warkah kepada Najib dari seorang ahli UMNO yang biasa | Salam Dato Seri Najib Razak,
Sudah 4 minggu berlalu pidato Dato Seri menggegar dewan beserta sumpah, janji dan tekad di Perhimpunan Agong UMNO 2012. Ketika mendengar ucapan Dato Seri, serasa seperti esoknya akan terus parlimen dibubar. Almaklum, semangat tengah membara. Tetapi sampai sekarang, tatkala semangat itu dah suam-suam kuku pun parlimen tidak dibubar. Macam ceramah motivasi juga Dato Seri, semangatnya paling lama 2 – 3 minggu. Pulang ke Cawangan & Bahagian 4 minggu lepas semua berbicara tentang ‘Melayu’, sekarang lebih seronok borak pasal piala AFF Suzuki..!

Tetapi tidak apa Dato Seri, saya rasa ada juga baiknya. Kerana sumpah janji yang dibuat berfalsafahkan perjuangan Islam itu perlu dibuktikan tidak dapat tidak sebelum PRU13. Maka saya menunggu kalau-kalau ada tindakan Dato Seri yang betul-betul ‘transformasi’. Almaklum, Dato Seri kata UMNO kena berubah, maka saya meramalkan Dato Seri sebagai presidennya akan mengubah dulu. Tempoh 4 bulan selepas Perhimpunan Agong UMNO (PAU) lalu harus digunakan sebaik-baiknya untuk menunjukkan perubahan (sebelum PRU13). Takkanlah kita nak kata – undi dulu, dah menang, baru kita akan ubah – sedangkan kita masih ada 4 bulan untuk membuktikannya! Rakyat tidak layan retorik begini, Dato Seri..

Andai Dato Seri berjaya memenangi hati rakyat dalam 4 bulan ini, PRU13 BN akan menang 2/3 parlimen. Matematiknya mudah.


Maka saya andaikan pada PAU lalu, adalah kali terakhir saya melihat Dato Seri Shahrizat Jalil berucap sebagai Ketua Wanita UMNO. Terus sahaja perbincangan dibuat & beliau meletak jawatan Ketua Wanita UMNO semasa atau selepas PAU. Baik Pemuda, pimpinan Cawangan, pimpinan Bahagian, Puteri mahupun Putera semua menghadapi sindiran sinis ‘lembu’ ini, kerana mempertahankan sayap Wanita. Sesama ahli UMNO pun sibuk mengutuk tentang ‘lembu’ ini, inikan pula Orang Atas Pagar (OAP) & ahli Pakatan Rakyat (PR)..! Ini bukan satu isu politik, Dato Seri. Umum tahu komuniti bisnes pun tidak senang dengan suami Shahrizat. Dato Seri perlu berani ambil tindakan untuk kepentingan parti kerana sekarang ianya menjadi beban kepada kempen kami di peringkat bawah. Tatkala kita canang ‘hiduplah Melayu!’, ada yang perli ‘matilah Lembu!’. Apa cerita Dato seri?

Saya juga mengandaikan Dato Seri akan melakukan sesuatu dengan isu Lynas. Ianya semata- mata, mutlak dan nyata bukanlah isu politik mahupun sesuatu yang dibangkitkan PR. Saya hampir menitiskan airmata melihat pejalan kaki merentasi negeri kita Pahang; cuba menyatakan sesuatu tentang bahaya Lynas. Isteri saya menyuruh saya hadiahkan sekotak air mineral kepada pejalan-pejalan kaki ini. Seorang pemimpin kuat satu Bahagian UMNO di Kuantan dalam sembang kedai kopi kami di Temerloh mengatakan yang MCA perlu ‘tackle’ semula bangsa Cina penentang Lynas, manakala UMNO tak perlu buat apa-apa – kerana orang Melayu Kuantan katanya bodoh, bukan faham sangat dengan data saintifik bahaya Lynas ini..! Sayu saya kerana orang ini juga yang saban PRU mencanang ‘tak Melayu hilang di dunia!’.

Sekali lagi sayu hati saya apabila melihat program Lynas bersama komuniti Gebeng & Balok membenarkan penduduk setempat memegang bahan mentah Lynas untuk bukti tiadanya bahaya. Dah memang bahan mentahnya tak bahaya, sisanya yang sampai sekarang entah tahu nak ke mana & sangat bahaya. Maka melihat penduduk Balok tersengih-sengih faham akan ‘tidak bahaya’nya Lynas, terdetik hati saya berkata memang betullah bicara tentang kebodohan Melayu Kuantan rakan UMNO kita ini tadi. Padamkan ego kerajaan, perlu Dato Seri meneliti kembali dengan teliti luahan penduduk Kuantan ini. MB Pahang DS Adnan Yaakob seperti langsung tidak mahu mendengar. Sekali lagi, ini bukan isu politik Dato Seri! Kalau ahli UMNO biasa seperti saya pun boleh kecewa dengan keengganan kerajaan Negeri mendengar rintihan tentang bahaya sisa Lynas ini, inikan pula OAP & ahli PR!

Kami juga payah menjawab di peringkat akar umbi berkaitan isu RM40 juta Michael Chia – Musa Aman – Hishamudin Hussein (HH). Ini termasuk isu kereta gunaan anak HH milik Michael Chia bernilai lebih RM400,000. Saya mengandaikan selepas Dato Seri bersumpah di PWTC terus sahaja Dato Seri memberi kata dua kepada Musa Aman & Hishamuddin Hussein. Ini bukan sesuatu isu yang dipolitikkan oleh pimpinan PR, saya sendiri sebagai ahli UMNO tidak senang dengan situasi wang sebanyak itu. Pimpinan Cawangan & Bahagian juga ada berbicara – cuma tidak sampai ke Dato Seri. Tidak berani betah, mungkin.

Saya juga berharap dapat melihat janji Dato Seri di Sarawak dalam pilihanraya ADUN yang lalu bahawa muka baru akan naik menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Sarawak. Pun tidak ada apa-apa tindakan susulan selepas itu. Mungkin tempoh 4 bulan ini boleh digunakan. Kalau ahli UMNO biasa pun tidak senang dengan kekayaan menggila Tan Sri yang seorang ini,  jangan kiralah OAP & ahli PR, Dato Seri..

Satu lagi isu yang saya rasa sepatutnya Dato Seri boleh ‘tackle’ sebelum menjadi peluru hangat PR sejak dulu lagi adalah isu Felda. Kalau nak dikira pidato Dato Seri tentang Melayu dah tentu seperti Dato Seri akan membela marhain Felda berbanding Dato seri Isa samad itu sendiri. Isunya mudah tentang Felda ini & seharusnya Dato Seri tahu yang saban hari di anjung pasar pagi di dalam setiap Felda memulakan isu protes ini dari kecil ke besar hanya setelah Isa Samad naik ke tampuk Felda. Isa Samad adalah satu nama yang orang tak boleh lupa dengan rekod rasuahnya kini duduk di tampuk tertinggi salah satu kuasa tunai terbesar kerajaan. Malah hendak dijadikan Pengerusi KPF – koperasi no.1 di dalam senarai 100 koperasi terbaik Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2011. Ini bukan isu Anak, bapak mahupun nenek, bukan juga kempen Oren, merah ataupun kuning. Kalau ahli UMNO pun tidak percaya dengan manusia bernama Isa Samad ini, takkanlah Dato Seri hendak OAP & ahli PR percaya? Ya ampunn, Dato Seri..

Rakyat mahukan jawapan kepada isu-isu di atas tetapi kita di UMNO cuba mencari alasan demi alasan supaya rakyat terimanya sebagai perkara biasa. Sepatutnya kita tegas berusaha mengubah kepincangan & beri apa yang rakyat mahu.

Dato Seri bersumpah dengan nama Allah akan memperjuangkan Islam & Melayu, juga Dato Seri kata Islam & Melayu hanya akan terbela sekiranya UMNO kekal memerintah. Ayuh, buktikan! Sekiranya UMNO tunjang utama negara – ianya seharusnya cukup kuat, gagah dan boleh hidup teguh dan utuh tanpa Shahrizat Jalil, tanpa Adnan Yaakob, tanpa Musa Aman, tanpa Hishamuddin Hussein, tanpa Taib Mahmud & tanpa Isa Samad!

Dato Seri kena berani ambil tindakan. Tiada gunanya UMNO mempertahankan beban-beban ini kerana beban-beban ini akhirnya akan entah duduk di mana kalau-kalau Dato Seri ditakdir menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen selepas PRU13 nanti.

4 bulan sebelum PRU13 – iaitu satu pertiga tahun; satu tempoh cukup lama untuk UMNO rendahkan ego dan akur dengan apa yang rakyat mahu. Isu-isu tadi termasuk isu Felda bukanlah isu politik; ianya isu benar, isu rakyat & isu pengurusan harta negara. Biar bak halilintar pun pidato Dato Seri di PWTC tempohari, balik ke Cawangan kami menghadapi masalah yang sama untuk menjawab isu- isu ini. Dato Seri perlu bertindak, kerana sekiranya Dato Seri takut atau tidak mahu bertindak – kami juga percaya yang UMNO boleh berdiri biarpun tanpa Najib Razak & Rosmah Mansor!

SUNGAI PAHANG
No. Keahlian UMNO: 02863XXX




sumber

0 comments:

Post a Comment