ALI (kiri) bersalaman dengan sebahagian penjawat awam pada majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2013 di PICC, Putrajaya semalam.
Penetapan gaji maksimum staf awam diumum Februari ini | PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.
“Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.
“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.
“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum itu, Ali menyampaikan amanat kepada kira-kira 4,000 penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi sidang video itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara.
Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam turut memainkan peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia di persada antarabangsa. – Bernama
0 comments:
Post a Comment