Searching...
Wednesday, January 30, 2013
10:00 PM 0

Nenek Menjual Bayi


Nenek Menjual Bayi | SHAH ALAM: Seorang nenek kepada 30 cucu yang berhadapan dengan tiga pertuduhan menjual tiga bayi berusia lima bulan dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Lim Kian Wan, 60, selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini, yang melepas dan membebaskan Lim pada 13 April tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tambahan penjara tiga tahun lagi jika Lim gagal membayar denda itu.

Abdul Alim dalam penghakimannya berkata, tindakan tertuduh memperdagangkan orang hanya untuk mendapat kemewahan hidup dan wang ringgit adalah punca utama dia melakukan kesalahan itu.
"Kamu juga mempunyai jaringan sangat elok yang boleh menjadi penyebab kamu melakukan jenayah yang dibenci ini," katanya.

Selain itu, Abdul Alim berkata, orang yang membeli bayi juga patut dipersalahkan dan disiasat seterusnya didakwa.

Sehubungan itu, Abdul Alim memutuskan hukuman penjara tujuh tahun dan RM10,000 untuk setiap tuduhan, jika gagal membayar denda masing-masing dihukum penjara setahun.

Namun, beliau mengarahkan hukuman penjara tujuh tahun bagi tuduhan pertama dan kedua dijalankan serentak kerana membabitkan tempat dan masa kejadian sama.

Bagi tuduhan ketiga pula, hukuman diarah berjalan berasingan, dengan tertuduh diperintah ke Penjara Kajang mulai semalam.

Terdahulu, peguam Muhammad Affendy Mohd Yusof merayu supaya mempertimbangkan umur anak guamnya selain mengambil faktor wanita itu turut menghidap pelbagai penyakit.

"Anak guam sukar bergerak kerana pernah mengalami kemalangan dua tahun lalu dan kaki dimasukkan besi.

"Wanita itu juga perlu menyara 11 anak dan 30 cucunya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan ini dan hukuman tidak berjalan serentak kerana membabitkan mangsa berlainan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lim didakwa memperdagang dua bayi, masing-masing-masing berusia lima bulan pada 31 Julai 2009, jam 8 malam dan 9 malam di Taman Jenaris, Hulu Langat dekat sini.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan bayi berusia lima bulan pada 3 Ogos 2009, jam 8 malam di tempat sama.

Bagi semua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

0 comments:

Post a Comment