Kelab England berminat sambar penyerang sensasi TRW?
Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) sedia berunding dengan mana-mana kelab dari Eropah yang dikhabarkan mahu melamar penyerang baharunya, Dimitrios Pertrators.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa mereka sedia membuka pintu rundingan jika kelab tersebut membuat permintaan untuk menggunakan khidmat prospek muda yang paling menyinar di Australia itu walaupun telah diikat kontrak bersama Kelantan selama setahun.
“Kalau ada (lamaran), kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan di media,” katanya kepada pemberita pada majlis kenduri perkahwinan penjaga gol Kelantan Kahirul Fahmi Che Mat atau Apek di Kampung Cherang, Kota Bharu hari ini.
Annuar turut menafikan dakwaan beliau pernah mengadakan rundingan dengan mana-mana kelab dari Eropah berhubung lamaran terhadap pemain berusia 21 tahun itu.
Akhbar semalam melaporkan laman web bola sepak Australia, au.fourfourtwo.com (Four Four Two), seperti dipetik portal bola sepak espnstar.my melaporkan penyerang muda skuad Bawah 21 ‘Soccerros’ itu kini diintai oleh sebuah kelab dari England.
Ejen penyerang muda tersebut, James Hardy dipetik memberitahu Four Four Two, ada wakil dari Kelantan kini berada di United Kingdom untuk melakukan rundingan berhubung pemain muda tersebut.
Hardy turut dipetik sebagai berkata Pertratos akan ke England hujung bulan ini untuk menjalani ujian.
“Kelantan mempunyai hubungan yang baik di England, sekaligus membuka peluang kepada Pertratos untuk bermain di sana,” katanya sebagaimana dipetik daripada espnstar.my.
Pertratos, penyerang berbakat dari Sydney FC mengikat kontrak selama setahun bersama ‘The Red Warriors’ pada bulan lalu dan disenaraikan untuk beraksi pada saingan Piala Konfederasi Asia (Piala AFC) dan bukannya Liga Malaysia.
Kelibat Pertratos dalam enam perlawanan persahabatan pra musim Liga Malaysia 2013 baru-baru ini turut menyaksikan pemain itu menghadiahkan enam gol kepada Kelantan. – Bernama
0 comments:
Post a Comment