Wanita Dicekup Bersama Bekas Suami
Wanita Dicekup Bersama Bekas Suami | BATU PAHAT – Memang pelik dan mengejutkan. Seorang wanita baru berkahwin sanggup memilih ‘bekas’ suaminya dan bukan suami yang baru dinikahi untuk melayari ‘malam pertama’.
Bekas suami wanita berusia 55 tahun itu mengaku, mereka berpisah sejak Januari lalu, tetapi masih bermalam di rumah sama, malah perbuatan mereka mendapat restu suami baru bekas isteri.
Sinar Harian difahamkan, wanita itu melangsungkan pernikahan dengan suami barunya pagi kelmarin, sebelum memilih untuk pulang ke rumah bekas suaminya dan bermalam di situ pada hari sama.
Bagaimanapun, perkara terbabit terbongkar apabila Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) daerah Batu Pahat menjalankan serbuan di rumah lelaki itu di Sungai Suloh di sini, jam 3 pagi.
Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas menerima maklumat awam dan membuat risikan beberapa minggu sebelum itu.
Menurutnya, wanita terbabit telah bercerai dengan suami lamanya sejak Januari lalu dan mereka tidak mempunyai anak hasil perkahwinan itu, tetapi masih berhubung.
“Pada pagi hari berkenaan, wanita terbabit mendakwa telah bernikah dengan lelaki lain dan ketika serbuan dilakukan, wanita itu berada dalam keadaan berkurung di rumah milik bekas suaminya itu.
“Wanita terbabit mendakwa hanya datang pada malam itu kerana ingin mengemas barangnya untuk dibawa pulang,” katanya.
Saiful berkata, alasan itu tidak dapat diterima kerana aduan dan risikan telah lama dijalankan sebelum serbuan.
Katanya, sebarang alasan diberikan wanita itu, dia tetap melakukan kesalahan kerana berkurung berdua-duaan di dalam sebuah rumah.
“Dia sepatutnya sedar kesalahan dilakukan, lebih menghairankan suami baru dinikahi seolah-olah merestui perbuatan terbabit yang sememangnya menyalahi hukum agama
“Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi sebelum dituntut waris masing-masing.
“Mereka akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan berhubung kesalahan dilakukan selesai,” katanya-sinar harian
0 comments:
Post a Comment