Searching...
Tuesday, September 24, 2013
10:07 PM 0

Haliza Misbun Dakwa Pernah Ditinggal Kekasih Kerana Statusnya?


Haliza Misbun Dakwa Pernah Ditinggal Kekasih Kerana Statusnya?KUALA LUMPUR: Hubungan pelakon Haliza Misbun dengan teman lelakinya pernah putus selama beberapa bulan selepas pemuda itu mengetahui dia seorang pelakon.

Haliza, 40, berkata, tindakan lelaki tersebut berbuat demikian kerana bimbang percintaan mereka tidak dapat berjalan dengan baik kerana status selebriti yang dipegang olehnya.

"Sebelum ini dia tidak mengetahui saya seorang pelakon dan saya pula tidak pernah memberitahunya. Bagaimanapun dia mula hairan apabila setiap kali kami keluar akan ada orang yang menegur atau pun senyum kepada saya.

"Sejak mengetahui status saya sebagai seorang selebriti dia mula menjauhkan diri dan memutuskan hubungan kami," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran novel tulisannya berjudul Cinta Rimau di Publika Solaris Dutamas di sini, Selasa.

Haliza baru-baru ini mendedahkan dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan dan lelaki tersebut telah menghadiahkan sebuah kondominium bernilai RM2 juta bersempena hari jadinya yang ke 40 tahun pada 14 Mei lalu.

Tambah Haliza, mereka bagaimanapun kembali berbaik selepas lelaki berkenaan menyedari mereka tidak patut memutuskan hubungan hanya kerana status berkenaan.

"Saya faham mengapa dia bertindak demikian kerana teman lelaki saya seorang yang sangat merendah diri dan tidak gemar cerita peribadinya menjadi perhatian umum.

"Bagaimanapun masalah itu telah dapat diselesaikan dengan baik dan kami masih bercinta seperti biasa," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Haliza berkata, dia tidak pasti bila dia akan menamatkan zaman bujangnya namun berharap hubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan.

Jelas Haliza, dia bukan takut dengan perkahwinan tetapi cuba membiasakan diri dengan kehidupan berdua kerana telah terbiasa hidup bersendirian sebelum ini.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupan selepas berkahwin kerana sudah terbiasa hidup sendiri tanpa mengharapkan sesiapa.

"Bagaimanapun teman lelaki telah berjaya menembusi tembok yang paling saya takuti itu dan berharap hubungan ini akan berakhir dengan ikatan suami isteri," jelasnya.

Mengulas mengenai hadiah mewah yang diterimanya, Haliza berkata, pemberian lelaki tersebut adalah ikhlas dan ia sebagai bukti cinta teman lelaki terhadapnya.

Kata Haliza, ia bukan bererti dia boleh mengambil kesempatan atas kebaikan lelaki itu sebaliknya benar-benar ikhlas mencintai kekasihnya itu.

"Cinta dia kepada saya sangat tulus dan ikhlas yang tidak ternilai harganya jika dibandingkan dengan harta benda dan wang. Dia orang yang paling rapat dengan Liza sejak dua tahun kebelakangan ini," tuturnya.

Sementara itu, bercakap mengenai novel pertama hasil tulisannya, Haliza berkata, dia sudah memulakan projek berkenaan sejak tiga tahun lalu dan keretakan hubungan dengan kekasihnya sebelum ini telah memberikan lebih sumber inspirasi untuk menyiapkan novel berkenaan.

Jelas Haliza, hampir 60 peratus isi novel berkenaan adalah tentang kisah sebenar yang pernah terjadi dalam hidupnya selain memasukkan elemen-elemen fiksyen.

"Novel ini bukan sekadar mengangkat kisah percintaan tetapi juga tentang isu anak tidak sah taraf dan agama yang menjadi tunjang kepada plot penceritaan," jelasnya.

Tambah Haliza, dia juga bertuah apabila pihak penerbit iaitu Merpati Jingga memberikan kebebasan kepadanya untuk menentukan arah buku tersebut tanpa terikat dengan sebarang peraturan daripada pihak penerbit.

"Sebelum memilih Merpati Jingga sebagai penerbit saya pernah berbincang dengan sebuah syarikat penerbitan yang terkenal namun terlalu banyak peraturan yang perlu saya ikut dan ia sekali gus mengehadkan kreativiti saya sebagai penulis," ujarnya.-mstar

0 comments:

Post a Comment