Keluarga Suspek Kes Rogol Ingin Saman Pihak Sebarkan Gambar Di Internet
Keluarga Suspek Kes Rogol Ingin Saman Pihak Sebarkan Gambar Di Internet | SUNGAI BUAYA – Kesemua lapan keluarga suspek kes rogol kanak-kanak 12 tahun akan mengambil tindakan saman terhadap pihak terlibat mengambil, memuat naik dan menyebarkan gambar anak mereka ke dalam akhbar, internet serta laman sosial.
Tindakan itu diambil susulan tersebarnya gambar lapan suspek termasuk beberapa individu lain berpakaian tahanan yang berada dalam sebuah van pihak berkuasa.
Ibu seorang suspek yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu kerana memalukan keluarga sedangkan anak mereka belum disabitkan kesalahan.
“Kami tidak akan bertolak ansur dalam soal ini. Ini soal maruah dan masa depan anak-anak kami.
“Bagaimana maruah kami dan bagaimana masa depan anak kami yang sepatutnya boleh dirahsiakan tetapi disebar dan disiarkan dalam media massa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Seorang lagi ibu kepada suspek berkata, kerahsiaan itu sepatutnya tersimpan dan hanya diketahui pihak berkuasa tetapi penyebarannya di media massa mencemarkan maruah ahli keluarga suspek.
“Cukuplah kami dimalukan dengan jiran serta penduduk kampung, tetapi kami kecewa dan tidak boleh bertolak ansur apabila maruah kami dicalar hingga diketahui seluruh negara.
“Gambar itu sudah cukup membuka aib kami semua sedangkan perbicaraan mahkamah sekalipun masih belum berjalan,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak sepatutnya terlepas pandang perkara sedemikian sepanjang suspek berada dalam jagaan atau pengawasan mereka.
Katanya, dari apa yang berlaku itu, individu terbabit atau pihak berkuasa harus bertanggungjawab berhubung perkara ini.
Seorang bapa kepada dua suspek berkenaan berkata, anaknya baru menerima keputusan soal siasat dan masih dalam proses siasatan sepenuhnya, tetapi gambar mereka didedahkan dengan niat mengaibkan.
Katanya, sikap individu terbabit jelas mencemarkan maruah keluarga mereka sehingga tersebarnya wajah anak mereka di akhbar, internet dan laman-laman sosial.
“Maknanya, semua yang terlibat mengambil, memuat naik dan menyebar serta menyiarkan gambar tersebut di internet, laman sosial dan televisyen swasta harus bertanggungjawab,” katanya.
Sinar Harian juga telah difahamkan bahawa gambar tersebut dirakam ketika kesemua suspek termasuk dua lelaki yang menghadapi kes berlainan sedang dalam perjalanan ke Selayang untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Gambar tersebut telah mula dimuat naik antara 20 September hingga 25 September lalu dan terus tersebar di laman internet dan sosial.-sinar harian
0 comments:
Post a Comment