Belasah Dengan Kayu,Ugut Bakar Apabila Hasratnya Ditolak Wanita
Ampang: Seorang lelaki yang ‘gila talak’ tergamak membelasah bekas isteri dengan kayu selain mengugut mahu membakar wanita itu hidup-hidup selepas hajatnya untuk rujuk semula ditolak.
Lelaki berusia 30-an itu difahamkan sebelum itu sanggup menunggu bekas isterinya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah premis perniagaan di Pandan Indah, di sini, hampir dua jam sebelum menyerang wanita terbabit.
Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 38 tahun mengalami lebam pada badan selain pecah bibir. Namun, sempat melepaskan diri daripada bekas suaminya itu sebelum mendapatkan bantuan rakan.
Sumber berkata, mangsa yang bimbang akan ‘diserang’ bekas suaminya lagi turut membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, sumber berkata, mangsa berjalan untuk pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran tempat kerja.
“Secara tiba-tiba tangannya ditarik seorang lelaki dan sebaik berpaling, mangsa mendapati lelaki itu adalah bekas suaminya. Lelaki terbabit kemudian membawa mangsa ke kawasan tangga premis.
“Bekas suami mangsa dikatakan mengajak supaya tinggal bersamanya dan berhasrat untuk rujuk semula. Bagaimanapun, mangsa enggan menuruti hasrat itu menyebabkan bekas suaminya naik angin,” katanya.
Katanya, kedegilan mangsa menyebabkan bekas suaminya mengugut mahu membakarnya hidup-hidup sekiranya masih berkeras dan tidak mahu kembali bersama.
Difahamkan, mangsa tidak mengendahkan ugutan itu sebaliknya cuba melepaskan diri, namun bekas suaminya itu tetap tidak berpuas hati.
Sumber berkata, lelaki itu turut bertindak menampar mangsa beberapa kali sebelum mengambil kayu yang terdapat berhampiran kawasan itu lalu membelasah mangsa bertubi-tubi.
“Mangsa nekad melawan sebelum berjaya melarikan diri dan menghubungi rakan serumahnya bagi meminta bantuan,” katanya.
Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang bekas suaminya itu akan menyerangnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.-hmetro
0 comments:
Post a Comment