Karakter Yang Sama Punca Syamsul & Yusof Haslam Berbalah | PETALING JAYA: Persamaan karakter di antara anak dan bapa iaitu Syamsul dan Datuk Yusof Haslam membuatkan mereka sering berbalah terutamanya membabitkan pendirian masing-masing.
Datin Fatimah Ismail yang merupakan isteri kepada Yusof dan ibu buat Syamsul berkata, keadaan itu membuatkan beliau risau dan serba salah sama ada mahu berada di 'belakang' suaminya atau anak setiap kalin terjadinya ketegangan di antara mereka.
"Pening juga saya dibuatnya. Saya tak tahu nak menyebelahi suami atau anak apabila mereka berbalah, namun sebagai isteri dan juga ibu, saya perlu menenteramkan kedua-dua mereka apabila situasi itu terjadi.
"Itulah, orang kata, jika anak dan ayah memiliki karakter yang sama, mereka tak boleh ngam.
"Tetapi Alhamdulillah, perbalahan mereka sekejap sahaja kerana air yang di cincang tak akan putus," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Baru-baru ini, Yusof dikatakan berkecil hati dengan tindakan Syamsul yang cuba menjauhkan diri daripadanya sejak dua bulan lalu.
Syamsul dikatakan bersikap sedemikian kerana Yusof yang juga Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd itu telah memberi tekanan kepada Syamsul yang dilihat tidak serius untuk menyiapkan filem KL Gangster 2 arahannya.
Bagaimanapun, pada Ahad lalu, Syamsul menerusi kolumnya di sebuah akhbar membuat pengakuan bahawa dia dan bapanya sudah pun berdamai dalam suasana penuh air mata dan saling berpelukan kira-kira dua minggu lalu.
Beritahu Fatimah, ketika pertemuan itu, suasana begitu sayu apabila masing-masing saling bermaaf-maafan dan meluahkan isi hati yang dipendam selama ini.
"Melihat keadaan mereka, saya pula yang menjadi sayu dan menangis lalu kami bertiga berpelukan.
"Alhamdulillah, syukur, keadaan yang tegang kembali tenang. Walaupun suami saya dilihat seorang yang tegas tetapi jauh di sudut hatinya, dia seorang yang lembut dan pemaaf.
"Bayangkan, saya pernah mengajaknya keluar berdua bagi melupakan sekejap ketegangan dia dan Syamsul, tetapi sepanjang kami keluar wajahnya murung mengenangkan anak lelakinya itu. Lebih-lebih lagi apabila Syamsul hanya mengirimkan SMS kepada saya, tetapi tidak kepadanya," ujar Fatimah.
Sementara itu, Fatimah juga gembira apabila Syamsul menunjukkan perubahan lebih mendekati agama Islam, berkat doanya selama ini.
0 comments:
Post a Comment