Fizo Omar Tidak Berniat Menjual Kisah Cinta | PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar tidak berniat untuk menjual kisah cintanya dengan Haas Jaafar, 25, kepada umum apabila gambarnya dengan wanita itu tersebar sebaliknya lebih senang bersikap 'low-profile' mengenai perkara tersebut.
Fizo, 28, bagaimanapun berkata, dalam masa yang sama langkahnya tidak menyembunyikan status kerana enggan menipu peminatnya yang bertanyakan perkara berkenaan ketika terserempaknya dengan Haas.
"Saya kalau boleh tidak mahu terlalu terbuka mengenai hubungan ini kerana ia masih lagi di peringkat awal dan takut jika percintaan ini tidak berakhir dengan baik.
"Apabila wartawan nampak saya dengan Haas di sebuah majlis baru-baru ini saya terpaksa berterus-terang kerana saya tidak mahu menipu. Lagipun itu bukan sikap saya (menipu)," jelasnya kepada mStar Online.
Fizo ditemui pada sidang media percutian eksklusifnya bersama Ramli Sarip ke Istanbul, Turki anjuran Arlief Event Management di sini, pada Isnin.
Hubungan Fizo dengan Haas mula mendapat perhatian apabila mereka dilihat muncul dengan wanita tersebut pada majlis resepsi persandingan Liyana Jasmay dengan Fathuddin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Februari lalu.
Sehari selepas itu mereka juga muncul dalam satu majlis anjuran pelakon Datuk Seri Shah Reza di Great Eastern Mall, Ampang dekat sini.
Tambah Fizo, dia bersyukur apabila berita mengenai percintaannya itu mendapat reaksi positif banyak pihak terutama peminat setianya.
"Apabila saya fikir balik kalau saya terus berdiam diri tentang hubungan ini ia mungkin mengundang pelbagai perkara negatif kerana peminat hari ini lebih bijak dan kuasa media sosial tidak memungkinkan saya dapat sorok perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, Fizo berkata, dia merancang mahu berjumpa dengan keluarga Haas dalam masa terdekat untuk mengenali dengan ibu bapa teman wanitanya itu.
Fizo memberitahu, walaupun telah mengenali ibu Haas, namun perjumpaan ini adalah lebih kepada rasa hormatnya kepada keluarga wanita berkenaan.
"Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan bertemu keluarganya untuk berkenalan dengan lebih rapat," jelasnya.
Bagaimanapun, Fizo berkata, perjumpaan itu bukanlah untuk merisik kerana ia masih terlalu awal.
"Kami baru bercinta enam bulan dan masih di peringkat mengenali hati budi namun jika ada jodoh saya mahu menamatkan zaman bujang sebelum usia 30 tahun," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kekerapannya menerima pelawaan percutian bersama agensi pelancongan, Fizo berkata perkara itu dianggap sebagai rezeki.
Katanya, selain dapat melancong dia juga dapat beramah mesra bersama peminat yang turut serta dalam program berkenaan.
"Saya akui kebanyakan percutian yang disertai adalah percuma namun pada masa sama saya turut dapat meluangkan masa dengan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong karier saya," jelasnya.
Fizo dan Ramli bakal menyertai percutian ke Istanbul, Turki pada Oktober depan bersama peminat selama tujuh hari enam malam dengan pelbagai aktiviti menarik.
"Saya sangat teruja kerana selain bersama peminat, percutian ini istimewa kerana turut disertai oleh 'papa rock' negara. Ia bakal menjanjikan kenangan manis," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment