Searching...
Wednesday, March 5, 2014
4:17 PM 0

'Saya Sedar Sejak Dulu'

'Saya Sedar Sejak Dulu'

“Sejak berusia 10 tahun, saya sedar rupa saya agak berlainan berbanding adik-beradik lain, lebih mirip kepada keturunan India.

“Selepas bertanya kepada ibu, baru diberitahu saya adalah anak angkat yang diserahkan satu pasangan India,” kata Salmah Abdullah, 32, yang mahu mencari keluarga kandungnya yang terpisah sejak kecil.

Dia yang kini menetap di Kampung Tok Khamis, Pasir Puteh berkata, selepas kematian ibu angkatnya, Che Nga Ishak, dia berusaha mencari keluarga kandungnya biarpun tahu ia bukan mudah.

Katanya, berdasarkan dokumen diperoleh daripada arwah ibu angkatnya, bapa kandungnya dikenali sebagai Jaganathan Ponnusamy manakala ibunya Munimah Kannan.

“Saya diserahkan kepada seseorang bernama Abdul Kadir Said ketika dilahirkan di Estet Sungai Emas dekat Padang Kubu, Kemaman, Terengganu.

“Selepas Abdul Kadir berpindah ke Pasir Puteh, saya diserahkan kepada Che Nga yang juga emak mentua untuk dipelihara,” katanya yang kini mempunyai dua anak berusia sembilan dan 11 tahun.

Salmah berkata, dia mendapat tahu ibu bapanya sudah meninggal dunia, namun memperoleh alamat seorang abangnya yang sudah memeluk Islam bernama Mohd Yusof Nadajaga Abdullah.

Katanya, dia dan suami, Mohd Rozain Muda, 58, kemudian cuba mencari abangnya yang tinggal di Rahan dekat Seremban, Negeri Sembilan, tetapi hampa apabila mendapat tahu abangnya itu sudah berpindah sejak enam bulan lalu.

“Selepas bertanya kepada penduduk di situ, saya diberitahu abang saya bekerja sebagai mekanik dan sudah memeluk Islam.

“Saya juga mendapat tahu saya adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Jika boleh saya mahu bertemu mereka semua,” katanya.-hmetro

0 comments:

Post a Comment