Searching...
Sunday, March 30, 2014
6:57 PM 0

#MH370 : Tidak Mampu Jamah Makanan Teringatkan Nasib Anak

#MH370 : Tidak Mampu Jamah Makanan Teringatkan Nasib Anak


“Tak boleh. Tak boleh nak makan. Sebab teringat kat baby. Tak tahu dia makan ke tidak kat sana,” kata Normah Jaafar, 56 sambil menitiskan air mata apabila diminta rakannya, Norazlina Rohani, 44 untuk terus menyuap nasi lemak.

Normah yang begitu sedih dengan kehilangan anaknya, Mohd Khairul Amri Selamat, 29, bersama anak kapal dan penumpang pesawat MAS MH370 sejak 8 Mac lalu, tidak berselera untuk menjamah makanan dan hanya bergantung kepada air minuman semata-mata.

Berikutan itu, dia kerap pengsan beberapa kali sebelum ini dan terpaksa dibawa ke klinik berdekatan, oleh kaunselor kerana lemah badan dan sakit kepala.

“Saya diberikan vitamin B Kompleks dan Parasetamol. Doktor beritahu, saya kurang tidur dan kurang rehat. Dia minta saya banyakkan rehat.

“Memang saya nak makan tapi saya tidak berselera. Tadi lepas makan ubat, saya rasa tak sedap badan. Mungkin sebab saya tak makan apa-apa dari pagi tadi,” katanya.

Katanya, dalam situasi yang menimpa anak bongsunya itu, dia tidak sanggup menjamah makanan yang enak, sedangkan tidak mengetahui keadaan Mohd Khairul Amri.

Menurutnya, naluri dan perasaannya dalam hatinya kuat mengatakan anaknya masih hidup.

“Sejak kejadian itu, saya tidak pernah mimpikan dia. Jadi, saya yakin dia masih hidup. Cuma tidak tahu keadaan dia kat sana sahaja.

“Kalau saya nampak dia depan mata, saya boleh terima kenyataan. Tetapi, kejadian ini masih belum membuktikan apa-apa, dan percaya, dia masih hidup,” katanya.

0 comments:

Post a Comment