Searching...
Saturday, March 29, 2014
10:09 PM 0

Bukan Salah Saya Tragedi MH370 - Shila Amzah

Bukan Salah Saya Tragedi MH370 - Shila Amzah


TATKALA seluruh dunia masih terkejut dengan tragedi kehilangan kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) MH370, muncul pula pihak yang seperti mahu mengeruhkan hubungan dua buah negara, Malaysia-China.

Tidak semena-mena, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi, timbul kemarahan dalam kalangan segelintir penduduk China yang tidak berpuas hati dengan pengumuman itu.

Lebih parah, apabila ada rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu menjadi bahan tohmahan mereka.

Mungkin angkara perasaan sedih, marah selain belum dapat menerima kenyataan, ada pihak yang mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar seperti yang terjadi dalam industri hiburan di Beijing.

Lebih menyedihkan apabila aktres filem Memoir of Geisha, Zhang Ziyi, turut memuat naik status berunsur negatif apabila menuding jari kepada kerajaan Malaysia.

Pelakon berusia 35 tahun itu memberitahu, dia tidak berpuas hati dengan cara Malaysia mengendalikan operasi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.

Perkara itu diluahkannya menerusi laman sosial yang popular di China, Sina Weibo.

"Kerajaan Malaysia bersalah. Gagal untuk bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Kerajaan Malaysia lebih mementingkan urusan politik berbanding nyawa mangsa... kami mahukan kebenaran," tulisnya yang dikemas kini sehari selepas penerbangan MH370 disahkan berakhir di Lautan Hindi.

Bukan itu sahaja, ketika Malaysia dan banyak negara lain termasuk China bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengacara televisyen, Yang Lan seolah-olah memperlekehkan usaha tersebut.


ZHANG ZIYI tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Malaysia menangani isu kehilangan MH370.

"Hati saya berbaur dengan rasa sedih dan marah. Apa yang syarikat penerbangan Malaysia dan pihak tentera negara itu cuba sembunyikan?" tulisnya di laman sosial tersebut.

Artis tempatan yang menempa nama di Beijing, Shila Amzah tidak terkecuali daripada menerima tohmahan dan cercaan baru-baru ini.

Komen yang diberikan peminat di sana seolah-olah mahu 'menolak' semua bintang yang datang dari negara ini.

Sudah pasti keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu emosi penyanyi berusia 23 tahun ini yang kini sedang menyertai program realiti terbitan saluran Hunan TV, I am a Singer.

Sebelum ini, Shila cukup dikenali dan diterima baik peminat di Beijing, namun keadaan berubah sebaliknya.

Kecewa dengan apa yang berlaku, pelantun lagu Patah Seribu itu kemudian memuat naik sekeping foto yang memaparkan ekspresi wajah sedih dan sayu di laman Instagram miliknya.

Gambar itu disertakan dengan keterangan dalam bahasa Mandarin yang bermaksud: "MH370 bukan salah saya..."

Gambar tersebut mendapat lebih 15,000 maklum balas termasuk komen daripada pengikutnya.

Biarpun dilontar dengan kata-kata nista, masih ada peminat Shila di Beijing yang memberikan kata-kata semangat.

"Shila hanya seorang penyanyi. Dia bukanlah wakil kepada kerajaan Malaysia. Janganlah mengaitkan isu ini dengan dirinya," tulis seorang pengikutnya.

Selain Shila, artis Malaysia lain yang terkena tempias ialah Fish Leong dan Gray Chaw, serta Lee Sinje dan Ah Niu.



0 comments:

Post a Comment