Searching...
Thursday, August 29, 2013
7:18 PM 0

Saya Dah Tak Sanggup Tinggal Dalam Neraka Itu Lagi


Saya Dah Tak Sanggup Tinggal Dalam Neraka Itu LagiSABAK BERNAM – Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dia diperlakukan kejam oleh majikannya sehingga sanggup menendang dan memijak pinggangnya tanpa belas kasihan.

Sunarti (bukan nama sebenar), 30, berkata, peristiwa dia didera bermula sewaktu mula datang ke Malaysia Oktober 2011 ketika bekerja di sebuah restoran di daerah ini sebelum bertindak melarikan diri April lalu.

Menurutnya, dia didera fizikal dan mental pasangan suami isteri itu jika melakukan kesalahan kecil termasuk pernah dipukul dengan kayu dan dipijak hanya kerana tidak menutup pintu rumah majikannya.
“Saya dah tak sanggup tinggal dalam neraka itu lagi kerana ada saja salah saya hingga diperlakukan seperti binatang yang boleh dimaki, dipukul, dipijak dan ditendang sesuka hati,” katanya.

Menurut Sunarti, dia dijadikan seperti hamba apabila terpaksa membasuh kain alas meja restoran hampir setiap hari dengan menggunakan tangan selain dipaksa membuat kerja rumah, mencuci pinggan mangkuk di restoran serta membersih pejabat.

Lebih teruk katanya, dia tidak pernah menerima bayaran daripada majikannya itu, malah untuk membeli tuala wanita juga tidak mampu melainkan terpaksa meminta ihsan daripada rakannya.
“Hendak beli tuala wanita pun majikan tak beri duit, mujur ada rakan-rakan sudi bantu saya sediakan keperluan itu setiap bulan,” katanya.

Katanya, majikannya itu juga tidak pernah menghiraukan keperluan makan dan minumnya sewaktu bekerja di situ, sebaliknya hanya membekalkannya sisa makanan pelanggan untuk dibawa pulang ke rumah.
“Mereka tidak pernah tanya saya dah makan ke belum, malah sisa makanan yang saya bawa itu lah dibekalkan kepada saya untuk dimakan,” katanya.

Akibat penderaan fizikal itu katanya, dia nekad melarikan diri dari rumah majikannya kerana tidak sanggup menanggung penderitaan yang tidak berkesudahan meskipun sudah lama menahan sabar dengan perlakuan kejam itu.

“Pada malam itu, saya nekad larikan diri dari rumah majikan kerana sudah tidak sanggup dengan dugaan ini.
“Saya yang sedang mencuci pinggan di restoran terus melarikan diri kira-kira jam 10 malam, apabila mendapati kedua-dua majikan saya keluar dan tiada di situ,” katanya.

Katanya, dia yang melarikan diri telah bertemu dengan seorang lelaki warga tempatan yang turut memperisterikan seorang wanita warga asing dan menumpang rumah pasangan itu selama seminggu.
“Sepanjang tempoh itu, mereka telah membantu dan mencarikan saya kerja di tempat sekarang.
“Alhamdulillah, majikan saya sekarang jauh lebih baik dan tidak pernah bertindak kasar terhadap saya, malah mereka sudah anggap saya seperti keluarganya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun bahagia dengan majikan baru, namun dia tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila mengetahui suaminya di Jakarta, Indonesia telah berkahwin dengan wanita lain.
“Anak lelaki berusia 13 dan anak perempuan lapan tahun kini dijaga ibu saya di kampung setelah bapa mereka berkahwin lain.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat apa yang berlaku kerana hidup perlu diteruskan dan wang yang saya peroleh di sini akan dikirim kepada anak-anak setiap bulan untuk perbelanjaan persekolahan mereka di sana,” katanya.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment