Bapa Tawar 3 Bayi Kembarnya Kepada Orang Ramai
Bapa Tawar 3 Bayi Kembarnya Kepada Orang Ramai | DENGFENG – Menyayat hati.Tiga bayi kembar berusia 11 bulan ditinggalkan di tepi jalan oleh bapanya, dengan harapan ada pihak yang mahu mengambil mereka, atas alasan dia tidak mampu menyara anak-anaknya itu.
Xu Lin yang sudah mempunyai dua anak lelaki berusia lima dan enam tahun, menawarkan kepada orang ramai untuk membawa pulang ketiga-tiga anak kembar lelakinya itu.
Bayi tersebut dibalut dengan selimut dan dibaringkan di atas tikar ketika Xu Lin cuba memberikan mereka kepada pejalan kaki di jalan berkenaan.
Xu Lin bagaimanapun ditangkap selepas orang ramai menghubungi polis kerana menyangka dia adalah anggota sindiket pemerdagangan orang.
Jurucakap polis berkata, Xu Lin mendakwa keluarganya kini menderita kemiskinan dan tidak mampu lagi untuk menanggung tiga bayi kembar.
Bayi-bayi berkenaan kini ditempatkan di pusat kebajikan negara.
Dalam pada itu, seorang saksi memberitahu Xu Lin memberitahu bahawa ketiga-tiga bayi kembarnya itu sihat.
``Namun dia dan isterinya tidak mampu memelihara mereka. Mereka sebelum ini mengharapkan anak perempuan,’’ katanya.
Undang-undang China berhubung satu anak satu keluarga ini menyaksikan ibu bapa dibenarkan membayar denda jika mereka mahu mempunyai lebih daripada seorang anak.
Menurut kerajaan China, undang-undang itu berjaya mengurangkan tambahan 400 juta kelahiran di negara yang mempunyai populasi 1.3 bilion penduduk itu.
Penduduk China dijangka mencecah 1.4 bilion orang pada 2020.
0 comments:
Post a Comment