Searching...
Tuesday, January 1, 2013
7:14 PM 0

AMBANG 2013,pasangan tua turut dicekup


Antara pasangan yang ditahan Jais dalam operasi malam kelmarin.

BATU CAVES - Pasangan kekasih tua antara dicekup dalam operasi anti zina siri 8 sekitar sini malam kelmarin.

Dalam operasi sempena sambutan tahun baru itu, seramai 21 pasangan berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan. Serbuan melibatkan hotel bajet di Goh Tong, Samudera dan Sunway Batu Caves.

Pasangan berusia awal 60-an itu mendakwa berasal dari Kelantan dan menginap di hotel tersebut kerana bercuti.


Ketika disoal penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, mereka pada mulanya mengaku suami isteri bagaimanapun gagal menunjukkan sijil nikah ketika diminta berbuat demikian.

Turut ditahan ketika serbuan ialah pasangan yang mendakwa sudah bertunang dan memberikan alasan terpaksa tinggal sebilik kerana hotel penuh.

Situasi agak tegang pada mulanya apabila pasangan terbabit enggan membuka pintu hotel ketika diketuk penguatkuasa namun akhirnya terpaksa akur.

Selain itu, hotel bajet turut dijadikan lokasi penginapan sepasang kekasih yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam sejak Ahad lalu.

Pegawai Jais yang mengetuai operasi tersebut, Luqman Ramli berkata, kesemua pasangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan operasi berakhir pada jam 5 pagi.

Katanya, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Luqman berkata, kesemua pasangan tersebut ditahan di bawah Seksyen 29 (1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1999/1995 kerana berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan atau berkhalwat.

“Untuk tindakan selanjutnya, kesemua pasangan tersebut perlu menghadirkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak di Kuang pada 3 Januari ini.

“Operasi tersebut juga turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang sampel air kencingnya didapati positif dadah,” katanya.

Sementara itu, wakil MPS memaklumkan, daripada lima hotel bajet yang diserbu, tiga daripadanya dikesan tidak memperbaharui lesen perniagaan.

Terdapat juga hotel yang tidak mempunyai lesen perniagaan dan tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha terbabit di bawah Undang-Undang Kecil bahagian Hotel.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment