Afique Hussain tidak kisah disuruh berambut palsu
KUALA LUMPUR – Pelakon Afique Hussain memberitahu tidak kisah apabila disuruh untuk memakai rambut palsu.
Ia demi untuk menjayakan wataknya dalam drama bersiri Kerana Sarah untuk slot Azalea di TV3.
Afique sebaliknya berasa amat berbangga dan bertuah apabila terpilih untuk berlakon dalam drama berkenaan.
Malah, berharap ia akan memberikan impak yang baik kepada kerjaya lakonannya.
“Memakai rambut palsu langsung tidak menjadi masalah kepada saya kerana kepala saya memang botak dan demi menjayakan watak tersebut saya tidak kisah.
“Tambahan pula ini adalah drama kedua saya untuk siaran TV3 selepas Seindah Sakura dan mahu lakonan saya itu nanti dapat memberikan impak kepada penonton,” jelasnya yang dipetik dari mStar Online, di sini, semalam.
Selain Afique, drama tersebut turut dijayakan oleh Rita Rudaini, Lisdawati, Zarina Zainuddin dan Ako Mustapha.
Afique berkata, peluang berlakon disamping nama-nama besar seperti Rita dan Lisdawati banyak mengajarnya untuk menjadi pelakon yang lebih baik.
Sementara itu, Afique berkata tahun ini dia menyasarkan untuk terlibat dalam 20 telefilem dan drama bersiri dan berharap angka itu dapat dicapai.
“Tahun lalu saya berlakon dalam 15 buah drama dan ia satu angka yang agak besar memandangkan nama saya masih lagi belum begitu menyinar berbanding pelakon baru yang lain.
“Namun itu bukan alasan untuk saya terus mengejar impian dan sasaran itu adalah sebagai satu cabaran buat diri sendiri,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment