Searching...
Wednesday, March 5, 2014
4:40 PM 0

Ramai Yang Dengki Dengan Awal?

Ramai Yang Dengki Dengan Awal?

SEMENJAK beberapa minggu lalu, timbul khabar angin yang mendakwa pengacara kacak, Awal Ashaari tidak lagi mengacarakan Melodi disebabkan kontraknya bersama program hiburan popular terbitan TV3 tidak diteruskan.

Khabar angin itu mula tersebar apabila ada pihak memberitahu bahawa Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, dikatakan mempunyai masalah disiplin dengan kerjanya.

Bagaimanapun, Awal, ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti The Band berkata, dia agak terkejut apabila gosip itu mula dihebohkan sedangkan hakikatnya, dia baharu sahaja memperbaharui kontrak selama setahun bersama Melodi pada awal tahun ini.

Lebih mengejutkan, Awal mendapat tahu, gosip itu bukannya datang daripada pihak produksi Melodi, tetapi berpunca daripada seorang artis yang mungkin menyimpan hasrat untuk menduduki ‘kerusi’ panas selaku pengacara program berkenaan.

“Jika betullah cerita itu, sudah pasti awal-awal lagi Michelle selaku penerbit akan menghubungi saya. Ditambah pula hubungan saya dengan kru produksi sangat rapat.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa terdapat beberapa orang pelakon telah diuji bakat bagi menggantikan tempat saya, tetapi pihak produksi menafikan perkara tersebut dan ia terbukti dengan kontrak baharu yang ditawarkan," jelas Awal menceritakan keadaan sebenar.

Mengulas mengenai masalah disiplin pula, sambil tersenyum Awal menjelaskan ia juga omong kosong yang sengaja ditokok tambah pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya.

Menurut suami kepada Scha Al-Yahya itu, dia tidak pernah ponteng kerja, sebaliknya memberikan komitmen penuh terhadap tanggungjawab selaku pengacara di samping pasangannya, Zizan Razak.

“Sekiranya saya tidak dapat datang ke set rakaman Melodi, saya akan maklumkan lebih awal kepada pihak produksi supaya ia tidak mendatangkan masalah.

“Tetapi, walau apa sekali pun gosip yang ingin mereka sebarkan, biarkanlah. Mulut orang saya tak boleh nak tutup. Alhamdulillah, rezeki di Melodi masih di pihak saya," ujarnya yang mengakui menjadi pengacara Melodi bukannya tugas mudah kerana cabaran dan risikonya sangat tinggi.

Ditambah lagi, terdapat juga rakan-rakan artis yang cuba menjauhinya dek kerana cerita sensasi mereka disiarkan di Melodi, sedangkan Awal hanya melaksanakan tugasnya selaku penyampai.

“Setelah tiga tahun mengendalikan program ini, barulah saya tahu betapa mencabarnya berada di posisi saya sekarang. Bukan sekadar ramai yang iri hati, malah saya turut dibenci. Tetapi saya hanya reda kerana itu lumrah yang perlu dihadapi," katanya.-utusan

0 comments:

Post a Comment