Isteri Bingung Pandu Daihatsu Charade Tetapi Bila Disaman Kereta Volvo
Seorang suri rumah disaman kerana memandu melebihi had laju di KM 18.7 Jalan Senai, Johor Bahru pada 2 Februari lalu.
Namun yang menjadi persoalan, surat saman diterima Arinee Hama, 38, menunjukkan jenis kereta terbabit ialah Volvo, sedangkan dia memandu Daihatsu Charade, walaupun nombor pendaftaran kedua-duanya sama, BCP 4909.
Arinee berkata, pada tarikh kejadian itu, dia berada di Golok sejak sebulan lalu.
"Justeru, kenapa pula saya yang disaman. Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan ibu mentua kerana surat saman dihantar menggunakan alamat di Rantau Panjang.
"Saya risau jika pemilik kereta Volvo tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, seterusnya melakukan jenayah dan sebagainya, jadi saya mohon pihak berkuasa menyiasat perkara ini," katanya.
Menurutnya, ia adalah kejadian pertama sejak dia membeli kereta tersebut pada 2009.
Sementara itu suaminya, Isma Airfath Hassamuddin turut memohon pihak polis menyiasat kejadian itu kerana menyebabkan emosi isterinya terganggu.
Isma yang juga dikenali sebagai Koseng Kombi berharap, isterinya dapat dilepaskan daripada tindakan saman tersebut.
"Bagi mencari keadilan, saya dan isteri telah membuat laporan polis mengenai kejadian ini," katanya.-sinar harian
0 comments:
Post a Comment