Tak boleh lupa kasih lama
Saya putus cinta tiga bulan lalu dan sukar melupakan kekasih. Kami bercinta sejak zaman sekolah dan usia hubungan kami kini 13 tahun. Saya sukar memulakan hubungan baru kerana menaruh harapan hubungan kami berakhir dengan perkahwinan.
Usia saya kini 28 tahun dan sukar rasanya untuk menerima cinta baru. Malah, saya ditinggalkan dengan cara paling menyedihkan, apabila saya mengetahui dia memilih pasangan baru dan bakal mengakhiri zaman bujangnya November ini menerusi laman sosial miliknya.
Saya tidak dapat mengesan perubahan dirinya dan berasa terlalu bodoh. Rakan sekolah terkejut dan ada yang memujuknya, tetapi sudah lewat untuk dia berpatah kerana majlis perkahwinannya tidak lama lagi.
Saya betul-betul patah hati. Malah, saya tidak dapat tidur lena sejak tiga bulan lalu. Saya betul-betul tertekan.
ARORA
Kuala Lumpur
Ungkapan bersabar tidak sesuai diungkapkan ketika ini kerana itu mungkin perkataan terakhir saudari ingin dengar. Namun Dang Setia lebih selesa menyebut ‘La Tahzan’ iaitu ‘Jangan Bersedih’ iaitu buku popular karya Dr Aidh bin Abdullah al-Qarni mengenai erti kehidupan.
Dang Setia melihat pengalaman saudari alami lebih kepada ujian berbanding bebanan kerana ia membabitkan cinta. Bukan mudah melupakan cinta lama, tetapi terlalu memikirkan mengenainya tidak menguntungkan saudari.
Saudari bersedih dan menangisi si dia yang hampir menjadi milik orang, sementara dia kini bergembira dan bahagia dengan kasih hatinya.
Bukankah itu merugikan? Lebih baik saudari simpan ia sebagai lipatan sejarah masa lalu dan cuba membina hidup baru. Mulakan cinta baru dengan hubungan lebih berkat iaitu tidak bercinta dalam tempoh lama serta mengakhirinya dengan perkahwinan.
Andai saudari trauma dan tidak lagi percayakan cinta, minta ibu mahupun keluarga memilih jodoh baik untuk saudari belajar bercinta semula. Mungkin cinta lepas berkahwin lebih indah.-hmetro
0 comments:
Post a Comment