Searching...
Monday, December 31, 2012
10:47 PM 0

Tizz Zaqyah enggan bersama kembali dengan Remy ishak



KUALA LUMPUR : Selepas beberapa tahun menyulam kasih dan berkongsi suka duka bersama, pasangan pelakon, Tizz Zaqyah dan Remy Ishak berpisah juga akhirnya pada tahun ini.

Dalam menyelusuri kehidupan cinta mereka berdua yang terlalu rahsia, hingga kini wanita yang berkulit putih itu masih lagi berahsia tentang punca perpisahan mereka.

Walaupun sudah kembali solo, soalan yang kerap diajukan kepada Tizz adalah sama ada dia mahu menyambung kembali hubungan cinta dengan aktor kacak itu atau tidak.


Bagi Tizz, dia memberitahu kemungkinan untuk kembali kepada bekas kekasihnya itu tidak pernah difikirkan selepas berpisah.

Tizz ketika ini mempunyai misi utama iaitu untuk memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya lakonannya.

“Kemungkinan untuk berpatah balik itu mungkin tidak ada agaknya. Saya tak pernah fikir perkara ini, malah kini hanya fokus pada kerjaya,” kata Tizz yang dipetik dari laporan Metro Ahad, semalam.

Baru-baru ini dikhabarkan Tizz dan Remy kembali bercinta dan dilihat mesra antara mereka berdua.

Namun, itu semua hanyalah lakonan mereka semata-mata untuk drama Cinta Jangan Pergi arahan Kabir Bhatia.

Biar pun sudah tidak berpacaran, Tizz masih lagi mampu untuk berinteraksi secara profesional dengan Remy bagi menjayakan sesi pengambaran tersebut.

“Bila bekerja, kita kena profesional. Jangan sesekali campur adukkan hal peribadi dengan kerja. Walaupun ada dugaan, bagi saya itu adat dan perkara biasa. Tidaklah sampai mengganggu fokus kerja.

“Dalam drama ini, kami jadi pasangan kekasih dan tak ada masalah untuk kami cipta keserasian kerana sudah biasa. Kami buat apa yang skrip dan pengarah mahu,” katanya.

Pergilah ke mana sahaja pastinya akan ada sahaja cerita yang timbul yang cuba dikaitkan antara Tizz dengan Remy.

Malah, masih ada lagi pihak yang cuba mengorek kedudukan hubungan antara Tizz dan Remy.

Bagi Tizz, dia tidak mahu orang ramai memikirkan lagi kisah lalu antara dia dan Remy serta mahukan kehidupan yang sekarang ini diteruskan.

“Beginilah. Apa yang berlalu biarlah berlalu. Usah dikenang atau meletakkan apa-apa harapan lagi.

“Saya tak berani nak cakap lebih-lebih, apatah lagi soal membabitkan hubungan sesama manusia. Semua itu urusan Allah SWT,” terang Tizz.-mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment